top of page

10 RESIPI SAHUR YANG RINGKAS

Bila tiba bulan puasa, pasti ibu-ibu buntu memikirkan menu untuk sahur dan berbuka. Lebih-lebih lagi jika ada anak-anak kecil yang baru nak belajar berpuasa. Menu yang dimasak haruslah menambat selera mereka.

Khas untuk anda, kami kongsikan 10 resipi sahur yang ringkas sesuai disajikan sewaktu sahur sepanjang bulan puasa nanti. Paling penting, sedap dan mudah dimasak.



10 RESIPI SAHUR YANG RINGKAS

1. RESIPI NASI GORENG CINA TAK PEDAS


Bahan-bahan:

  • Nasi

  • 5 ulas besar bawang putih (cincang halus)

  • 2 @ 3 sb serbuk maggi cukup rasa

  • 1 @ 2 sb minyak bijan

  • Udang

  • 4 @ 5 biji telur

  • 1 mangkuk sayur campur

Info: Jumlah bahan bergantung pada kuantiti nasi yang diguna.


Cara-cara:

  1. Panaskan minyak, tumis bawang putih sehingga naik bau dan sedikit garing.

  2. Masukkan udang, biarkan masak sekejap.

  3. Ketepikan udang, masukkan telur. Kecilkan api supaya telur masak elok, kemudian kacau telur sehingga hancur.

  4. Masukkan nasi dan sayur campur. Gaul rata.

  5. Kemudian taburkan maggi cukup rasa, gaul sekejap.

  6. Tuangkan minyak bijan dan gaul lagi.

  7. Boleh tambah serbuk perasa mengikut citarasa anda. Selamat mencuba!

Kredit: Har Ryea


2. RESIPI SUP TAUHU TELUR SIMPLE

Bahan-bahan:

  • 3 pek tahu telur

  • 1 pokok brokoli

  • 1 biji bawang besar

  • 2 ulas bawang putih

  • 1 biji cili merah

  • 2 sdb lada sulah

  • 2 sdb sos tiram

  • 1 sdb tepung jagung + 1 sdb air

Cara-cara:

  1. Mula-mula potong tauhu telur, kemudian bedakkan dia dengan tepung jagung. Gorengkan sampai kekuningan.

  2. Dah nampak garing, angkat dan ketepikan.

  3. Baki minyak tadi kurangkan sikit, tumiskan bawang merah dan bawang putih yang dihiris nipis.

  4. Masukkan sos tiram dan air sesuai dengan citarasa. Kalau suka berkuah, lebihkan air.

  5. Bila kuah dah mendidih, masukkan brokoli. Kalau nak letak sayur lain pun boleh.

  6. Masukkan tahu telur goreng tadi.

  7. Masukkan serbuk lada sulah, cili hiris serta bancuhan air tepung jagung.

  8. Biarkan mendidih terus tutup api. Siap!

Kredit: Umi Watie


3. RESIPI SUP TELUR


Bahan-bahan:

  • 4 biji telur ayam

  • 7 biji fishball (belah dua)

  • Setengah biji carrot ( belah dua dan potong biasa)

  • 3 ulas bawang putih(dicincang)

  • Kiub pati ayam(guna separuh je)

  • Lada sulah

  • Garam

  • 2 gelas air putih (kalau guna banyak telur lebih kan air untuk kuah)

  • Minyak masak

Cara-cara:

  1. Panaskan 1 sudu besar minyak masak, tumiskan bawang putih. Tumis sehingga bawang nampak kuning dan sedikit garing. Kemudian masukkan carrot.

  2. Tambahkan 2 gelas air putih. Perasakan dengan kiub pati ayam, garam dan sedikit lada sulah. Bila kuah dah mendidih. Kecilkan sedikit api dapur.

  3. Pecahkan telur sebijik ke dalam mangkuk dan tuang ke dalam periuk. Ulang sampai habis telur. (biar sekejap sampai telur masak, jangan kacau)

  4. Bila dah nampak telur masak elok seketul-seketul. Boleh masukkan fishball. Dah masak, tutup api dan hidangkan dengan tabur bawang goreng dan daun sup.

Kredit: Nora Azni


4. RESIPI TELUR PECAH SAMBAL 3 RASA


Bahan-bahan:

  • 1 biji bawang besar

  • 2 ulas bawang putih

  • 3 biji telur ayam

  • 3 sudu cili kering

  • 1 sudu besar sos tiram

  • 1 sudu besar sos cili

  • 1 sudu besar sos tomato

  • 1 cawan air

  • Sedikit daun bawang jika ada

Cara-cara:

  1. Panaskan minyak, tumis bawang merah dan putih yang dihiris halus.

  2. Bila dah kekuningan dan naik bau, masuk 3 sudu cili kering. Tumis lagi sampai pecah minyak.

  3. Masukkan sos tiram, tomato dan cili. Kacau rata.

  4. Pastikan sambal masak elok dan pecah minyak. Barula masakan jadi sedap.

  5. Masuk pula air dan kacau lagi. Tunggu sampai kuah sedikit pekat.

  6. Kalau ada yang kurang boleh tambah gula dan garam.

  7. Bila kuah dah secukup rasa, pecahkan telur.

  8. Taburkan daun sup. Jangan kacau supaya telur tidak hancur.

  9. Terbalikkan telur tu kalau nak bagi masak sama rata. Tutup api, dah siap.

Kredit: Liza Idris

5. RESIPI TELUR BISTIK

Bahan-bahan:

  • 2 biji telur

  • 1/2 dada ayam (dipotong dadu)

  • 1/2 cawan sayur campur

  • 2 sudu besar sos tiram

  • 2 sudu besar sos cili

  • 2 sudu besar sos tomato

  • 1/4 biji bawang holland

  • 3 ulas bawang putih (dicincang)

  • Sedikit minyak

  • Serbuk perasa

  • Air secukupnya

Cara-cara:

  1. Pecahkan telur, masukkan sedikit garam dan goreng bagi masak. Angkat dan biarkan.

  2. Tumis bawang putih dan bawang holland, masukkan ayam. Bila dah nampak ayam hampir masak, masukkan segala sos yang ada.

  3. Tambahkan sedikit air. Masukkan bahan perasa dan akhir sekali, masukkan sayur campur. Dah siap!

  4. Curahkan atas telur tadi, sedia untuk dimakan.


6. RESIPI UDANG BUTTERMILK

Bahan-bahan:

  • Udang galah

  • Buttercup (lagi banyak lagi sedap)

  • Susu cair setengah tin (nak berkuah letak lebih)

  • Bawang putih 7 ulas (kisar halus)

  • Cili api (tumbuk atau kisar halus bersama bawang putih)

Cara-cara:

 

  1. Cairkan mentega. Goreng udang sehingga agak garing. Angkat dan asingkan.

  2. Guna mentega bekas udang tadi, tumis bawang putih dan cili api yang sudah dikisar halus.

  3. Bila dah agak garing, masukkan susu dan garam.

  4. Kacau sebati. Masukkan pula udang.

  5. Masak sehingga pekat dan siap!

7. RESIPI AYAM MASAK HALIA


Bahan-bahan:

  • Ayam (lumur garam dan kunyit, goreng sehingga masak tapi jangan terlalu garing)

  • Bawang merah

  • Bawang putih

  • Halia (kena banyak sikit sebab perlu diksiar dan dihiris)

  • Cendawan shitake kering

  • Lada kering

  • Daun bawang

Cara-cara:

  1. Kisar bawang merah, bawang putih dan halia. Kemudian, tumis sehingga naik bau.

  2. Masukkan sos tiram.

  3. Tambah sedikit air. Kemudian, masukkan ayam. Gaul bagi mesra. Tambah lagi air ikut kesesuaian kuantiti ayam. Boleh masukkan kicap masin untuk dapatkan warna yang lebih menarik. Masakan ini tidak memerlukan kuah yang banyak.

  4. Masukkan cendawan dan lada kering, garam. Biarkan masakan mereneh sekejap.

  5. Sempurnakan rasa dan kepekatan kuah dengan bancuhan tepung jagung. Akhir sekali, masukkan daun bawang. Tutup api.

Kredit: Fie Safiah

8. RESIPI SUP ABC


Bahan-bahan:

  • Ayam(bahagian dada)

  • Jagung

  • Tomato

  • Bawang besar

  • Lobak merah

  • Ubi kentang

  • Buah merah/kurma merah

  • Goji/gei ji

  • Garam

Cara-cara:

  1. Campur semua bahan, kemudian rebus dalam 1:15 -1:30 minit. Siap!

Kredit: Naomy Chow

9. RESIPI UDANG MASAK SOS



Bahan-bahan:

  • 500g udang

  • 1 biji bawang merah**

  • 2 ulas bawang putih**

  • ¼ inci halia**

  • 10 tangkai cili kering**

  • 2 sdb sos tiram

  • 1 sdb sos tomato

  • 3 sdb sos cili

Cara-cara:

  1. Kisar halus bahan bertanda (**).

  2. Tumiskan bahan yang dikisar halus tadi. Tumis sampai pecah minyak.

  3. Bila dah pecah minyak, masukkan air lebih kurang 1/4 cawan.

  4. Masukkan segala aneka sos tadi ya. Biarkan kuah sedikit memekat.

  5. Masukkan udang.

  6. Kalau suka boleh masukkan bawang hiris.

  7. Perasakan dengan garam dan gula secukupnya. Gaulkan semua sampai udang Masak. Matikan api.

Kredit: Umi Watie

10. RESIPI AYAM MASAM MANIS

Bahan-bahan:

  • Isi ayam

  • Tepung jagung

  • Telur

  • Bahan tumisan ( capsicum, cili merah/capsicum merah, carrot, bawang merah, bawang putih, dan halia)

  • Kicap cair

  • Sos cili

  • Sos tomato

  • Sos ikan

  • Lada sulah

  • Garam

Cara-cara:

  1. Untuk bancuhan ayam. Bancuh dengan tepung jagung, sebiji telur yang dipukul dan secubit soda bikarbonat. Goreng sehingga masak dan keperangan.

  2. Tumis sekejap bahan-bahan tumisan yang sudah dihiris kecil.

  3. Kemudian masukkan sesudu kicap cair. Gaul sebati, angkat dan ketepikan.

  4. Untuk kuah. Masukkan sos cili dan sos tomato.

  5.  Masukkan sedikit air, satu sudu kecil sos ikan, bancuhan tepung jagung, sedikit lada sulah dan sedikit garam. Rasa sedikit supaya secukup rasa dan tambah apa yang terkurang.

  6.  Kemudian masukkan isi ayam yang digoreng tadi serta sayur-sayuran. kuatkan api dan gaul sekejap bagi rata kesemuanya.

  7. Siap!

Kredit: Wan Luqman



9 views0 comments

Comments


bottom of page