1
Di sangkar merbah bertelur helang,
Punai terlepas di hutan tarah;
Berkibar megah Jalur Gemilang,
Bagai mengibas lipatan sejarah.
Jentik penutup persetua lara,
Waktu meletus musuh dah tamat;
Detik berdegup jiwa dan suara,
31 Ogos 1957 sejarah keramat.
Langkah jaya tentera membidek,
Senjata diampu berhadapan musuh;
Alangkah Malaya gembira bertempek,
Berita Tunku kejayaan seluruh...
Jasamu diingat di tinta pusara,
Kenangan duka tidak disesali;
Perkasamu semangat cinta negara,
Laungan MERDEKA berkali-kali
Terjah penjajah menggelegak mara,
Menghentam angin peluru bergema;
Wajah-wajah tonggak negara,
Enam pemimpin satu jenama.
2
Dalam kerelaan majumu dewi,
Pantang rebah bangun berdiri;
Salam kemerdekaan buat ibu pertiwi.
Bertatang sembah pantun penyeri. .
Hiris lada terhiris mentimun,
Sambal merah terpalit di jari,;
Portugis Belanda Inggeris dan Jepun,
Tinggal sejarah di karpet memori.
Perintis persada menangkis lanun,
Wajah tak gentar seampuh laksamana;
Portugis Belanda Inggeris dan Jepun,
Penjajah tegar musuh durjana.
Komunis melanda sadis bertahun,
Jerih bernafas peristiwa Kepong;
Portugis Belanda Inggeris dan Jepun,
Masih berbekas nyawa terapung.
31 Ogos membilang hari,
Rawan lara di zaman komunis;
Waktu berarus menggalang memori,
Pahlawan negara berteman puitis.
3
Tumbuh subur si pohon ceri ,
Tumbuh sebatang dihujung tanjung,
31 Ogos menggamit memori,
Kenangan merdeka kenangan dijunjung.
Peristiwa lara menghiris perasaan,
Terasa pedih seperti disengat
Jiwa bersuara demi kemerdekaan,
31 Ogos pekikan semangat.
Rahsia bersolat segera berZohor,
Sunnah dikerjakan menyembah Yang Satu;
Malaysia berdaulat negara yang makmur,
Tanah kelahiran tumpah darahku.
Kasih dijulang merafak mahkota,
Beban peristiwa bersemi pusara;
Berputih tulang tidak di mata,
Berkorban nyawa demi negara.
Membawa riwayat terpahat di batu,
Mengepung amarah suka dan duka;
Peristiwa menyayat di Lahad Datu,
Cermin sejarah luka terluka.
4
Bersimpul iman berapa amalan,
Sehangat pasrah membilang angan;
Tunku Abdul Rahman Bapa Kemerdekaan,
Keringat sejarah menjulang tangan.
Sanggul pasak kembung sekerat,
Mengapa jambangan bubuh di sisi;
Tun Abdul Razak menyambung hasrat,
Bapa Pembangunan penuh dedikasi.
Fesyen sedondon cantik dilihat,
Jumpa Cik Puan di Jalan Teberau;
Tun Hussein Onn membelek rakyat,
Bapa Perpaduan panggilan beliau.
Pohon banir menapis unggas,
Betapa dahan ada sepaha;
Tun Dr Mahathir berinovatif dan tegas,
Bapa Permodenan sentiasa berusaha.
Mengaji bersolah berkabut pusara,
Terkapa ketakutan sejengkal nisan;
Datuk Seri Abdullah lembut bicara,
Bapa Pembangunan Modal Insan.
5
Tentera berani menggenggam pusaka,
Melangkah mati nyawa diberi;
Negara kini 60 tahun merdeka,
Merdekakah hati jiwa sanubari.
Sungguh bersabar keringat dirasa,
Di ambang merdeka rakyat menanti,
Penuh debar semangat perkasa,
Lambang Merdeka memahat erti.
Kenangan duka sama merahsia,
Kering dan tua dimakan umur;
Laungan Merdeka bergema seMalaysia,
Seiring doa Malaysiakan makmur.
Ke laut kita mencari lokan
Meredah pantai dan juga paya;
Hidup nan indah kita impikan,
Jiwa merdeka maju dan jaya.
Pejuang mati bertabur tulang,
Hancur badan dikandung tanah;
Penjajah lari dihambat pulang,
Anak watan tegak dan megah.
6
Dari pahang ke negeri Melaka,
Singgah berehat di pekan Kuantan,
60 tahun Malaysia merdeka,
hidup aman tiada keperitan.
Meredah hutan mencari cemara
singgah sebentar di negeri kedah,
hargai merdeka yang kita rasa,
hilang ia sesal tak sudah,
Ayam jantan berkokok di dahan
sejuk terasa air perigi
Kemerdekaan perlu kita pertahan
Sekali tergadai tak berguna lagi
Indah berseri cincin delima,
bertatah permata elok dipakai,
malaysia kini 60 tahun merdeka,
negara kita aman dan damai.
Halus teratur jambangan cempaka,
di tepi jejawi molek kedidi;
takkan luntur semangat merdeka,
dijulang pertiwi sentosa abadi.
7
Remaja kini menjulang nusa,
bagai cahaya menyeri pandangan;
malaysia harmoni aman sentosa,
dengan adanya pemimpin sanjungan.
Tumbuh subur pohon inanam,
Di celah-celah pohon bidara,
Semangat patriotik harus ditanam,
Supaya diri cintakan negara.
Cantik sungguh api pelita,
Peneman malam ketika beradu
hubungan baik antara kita,
hidup menjadi lebih bersatu.
Jalur gemilang bendera kita,
Megah berkibar di pagi hari,
Selalu kita berdoa padaNya,
Supaya negara aman harmoni.
Cantik sungguh bunga cempaka
Ada bersama buah pulasan
60 tahun Malaysia merdeka,
Negara maju menjadi wawasan
8
Daun sirih di dalam dulang,
Pinangnya pula di makan ulat
Rakyat dibela pemimpin dijulang,
Malaysia merdeka kekal berdaulat.
Sepoinya angin terasa nyaman
Menumpang sinar cahaya purnama;
Negara sejahtera tanpa ancaman,
Rakyat bahagia selalu bersama
Burung merpati terbang di awan,
Senja menjelang ditangkap helang;
Remaja berkualiti penjana wawasan,
Malaysia cemerlang gemilang terbilang
Sampan kolek menuju ke hilir
Sarat muatan si buah kelapa;
Jangan berkata hanya di bibir,
Cintakan Negara apa buktinya?
Terbang indah si rama-rama
Hinggap seekor di atas paha;
Malaysia Boleh slogan bersama,
Asalkan ada daya usaha.
9
Bahasa Melayu ejaan rumi,
Mula belajar di rumah lagi;
Agama Islam agama rasmi,
Rukun Negara wajib dipatuhi.
Cantiknya gelang pada ukiran,
Diserikan pula emas permata,
Biar hilang nyawa dibadan,
Jangan kita berputih mata.
Burung camar di sawah padi,
Luka berdarah diikat tali
Jika patriotisme Kurang disemadi,
Mungkin sejarah berulang kembali
Lagu negaraku lagu kebangsaan,
Dihafal dan diingati oleh semua,
Tugu negara lambang pengorbanan,
Pembakar semangat kepada semua.
Lagam dan gangsa senang didapati,
Dijadikan dulang untuk hantaran,
Slogan kemerdekaan sentiasa dihayati,
Rakyat didahulukan pencapaian diutamakan
10
Satu Malaysia satu bahasa,
Menjadi penghubung pelbagai ungkapan;
Berbagai agama berbilang bangsa,
Rakyat didahulukan pencapian diutamakan.
Sayang Cik Nona berkebaya sendat,
Pandai menggubah jambangan bunga;
Jangan dilupa Budaya dan adat,
Barulah sejahtera satu Malaysia.
Cincin permata kilauan cahaya,
Cincin suasa pengikat mesra;
Berbeza Agama, adat, dan Budaya,
Bukan penghalang penyatuan bangsa.
Sungguh syahdu susunan irama,
Bering dengan irama bangsi
Rakyat didahulu pencapaian diutama,
Jadi pengangan cetusan inspirasi.
Peluk dan salam budaya melayu,
Inilah bukti peninggalan adat;
Rakyat Melaysia perlu bersatu,
Demi satu Malaysia kita sepakat
Comments