top of page

Zakat Fitrah: Hukum, Syarat Wajib & Kadar Zakat Fitrah 2024

Zakat Fitrah

Menjelang bulan Ramadhan 2024, semua umat Islam yang cukup syarat wajib membayar Zakat Fitrah.

Tahukah anda apakah itu zakat fitrah dan berapakah kadar bayaran yang perlu dibayar bagi setiap individu di Malaysia?


Di sini dikongsikan info lanjut tentang zakat fitrah serta bayaran setiap negeri bagi tahun terkini (2024).


Apakah Zakat Fitrah?

Zakat Fitrah adalah zakat yang diwajibkan ke atas setiap individu lelaki dan perempuan Muslim yang berkemampuan dengan syarat-syarat yang tertentu.


Kadar dan jenis zakat fitrah ialah segantang makanan asasi penduduk negeri tempat seseorang mukallaf itu bermukim.


Zakat Fitrah

Hal ini juga berdasarkan hadith daripada Abi Sa’id al-Khudri R.A katanya:

كُنَّا نُخْرِجُ فِي عَهْدِ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَوْمَ الْفِطْرِ صَاعًا مِنْ طَعَامٍ. وَقَالَ أَبُو سَعِيدٍ وَكَانَ طَعَامَنَا الشَّعِيرُ وَالزَّبِيبُ وَالأَقِطُ وَالتَّمْرُ

Maksudnya: “Pada zaman Rasulullah SAW kami mengeluarkan zakat fitrah pada hari raya sebanyak segantang makanan. Gandum, kismis, keju dan tamar ialah makanan kami.”

Riwayat al-Bukhari (1439)


Ukuran gantang yang digunakan oleh Rasulullah SAW menyamai 4 cupak. Kadar ini menyamai sukatan 3 liter, iaitu bersamaan kira-kira 2400 garam. Mengikut sukatan segantang dikira dengan gram ialah 2,750 gram (2.75 KG).


Sekiranya gandum ialah makanan asasi penduduk di negara kita, maka zakat fitrah yang wajib atas setiap individu adalah sebanyak 3 liter.



Hukum Zakat Fitrah & Siapa Yang Wajib Membayarnya?


Zakat fitrah diwajibkan ke atas dirinya sendiri, setiap orang yang wajib diberi nafkah.

Mereka itu termasuklah daripada isterinya, usul dan furu’ (keturunannya) dari lelaki atau perempuan dengan syarat mereka ini tergolong dalam golongan fakir miskin.


Syarat-syarat wajib bagi menunaikan zakat fitrah adalah:

  • Al-Islam, diwajibkan juga kepada orang yang murtad selepas ia memeluk islam.

  • Waktu, sesungguhnya telah ditetapkan waktu diwajibkannya. Iaitu ketika terbenamnya matahari pada hari yang terakhir bulan Ramadhan

  • Berkemampuan untuk mengeluarkan zakat fitrah ketika waktu diwajibkan zakat. Sekiranya kemampuannya itu selepas waktunya maka tidak diwajibkan (Lihat: al-Muktamad fi al-Fiqh al-Syafi’e, 2/98)


Tempoh Bayaran Dibuat

Tempoh bayaran adalah pada Bulan Ramadhan sehingga pagi 1 Syawal sebelum melaksanakan Solat Sunat Aidil Fitri.


Hukum mengeluarkan zakat fitrah pada awal bulan Ramadan atau pertengahannya ada beberapa pendapat:

  • Harus sebelum raya, sehari atau dua hari. Tetapi lebih daripada itu tidak diharuskan mengikut pendapat Mazhab Malik dan Hanbali.

  • Harus mengeluarkannya daripada pertengahan bulan Ramadan. ini satu pendapat dalam Mazhab Hanbali.

  • Harus mengeluarkannya pada awal bulan. Ini adalah satu qaul dalam Mazhab Hanafi, Syafie, dan satu pendapat dalam Mazhab Hanbali.

  • Harus mengeluarkannya secara mutlak walaupun sebelum Ramadan.

  • Menurut Ibn Ruslan, hukum melambatkan bayaran zakat fitrah sehingga satu hari raya adalah haram. Pendapat ini disepakati oleh seluruh ulama. Mengikut jumhur ulama, melambatkan pembayaran zakat tersebut adalah berdosa dan wajib diqadha’. Ini kerana ia merupakan hak bagi harta dan ia tidak akan gugur dengan luput waktunya.

*Sumber: Mufti WP


Kadar Zakat Fitrah Setiap Negeri (2024)


Menurut Kosmo Online, hanya 5 negeri iaitu Selangor, Melaka, Pahang, Perlis dan Kelantan mengesahkan mengekalkan kadar zakat fitrah seperti tahun lalu selaras pengumuman pihak berkuasa agama negeri itu.


Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, negeri berkenaan menetapkan nisab paling rendah iaitu sebanyak RM7.00 dengan Pahang dan Perlis masing-masing mewartakan satu kadar.


“7 negeri lagi dan Wilayah Persekutuan yang meliputi 3 entiti sebagaimana diumumkan baru-baru ini memaklumkan nisabnya meningkat pada kali ini.


“Terengganu mencipta rekod sebagai negeri yang paling tinggi untuk kadar minimum iaitu RM10 berbanding tahun lalu hanya RM8, manakala nisab tertinggi pula ditetapkan RM22,” katanya ketika melancarkan sambutan Ihya Ramadan 1445 di sini petang tadi.


Dalam pada itu, Perak yang memaklumkan kadar minimum zakat iaitu RM8, malah nisab median dan paling tinggi juga dinaikkan dengan masing-masing dua ringgit kepada RM16 dan RM24.


Kedah yang pada tahun lepas memperkenalkan nisab paling rendah iaitu RM6.50 untuk kadar minimum, namun mengumumkan kenaikan kepada RM7.


“Sabah menaikkan nisab tunggalnya di negeri tersebut kepada RM7.50, iaitu kadar sama yang pernah diwartakan pada 2020 sebelum turun kepada RM7 sejak 2021.


“Johor pula yang selama ini cuma ada dua nisab sejak 2019 tetapi untuk tahun ini mengikut jejak negeri-negeri lain dengan memperkenalkan tiga kadar berbeza,” jelasnya.


Berikut ialah kadar bayaran bagi setiap individu seluruh negeri di Malaysia untuk tahun 2024 bersamaan 1445 Hijrah sepertimana yang telah ditetapkan oleh Majlis Agama Islam Negeri:

  • Johor : RM7.00 / RM12.00 / RM20.00

  • Negeri Sembilan : RM7.00 / RM12.50 / RM22.00

  • Kelantan : RM7.00 / RM14.00 / RM21.00

  • Melaka : RM7.00 / RM14.00 / RM21.00

  • Pulau Pinang : RM7.00 / RM14.00 / RM21.00

  • Selangor : RM7.00 / RM14.00 / RM21.00

  • Kedah : RM7.00 / RM14.50 / RM22.00

  • Wilayah Persekutuan : RM7.00 / RM15.00 / RM22.00

  • Perak : RM8.00 / RM16.00 / RM24.00

  • Terengganu : RM10.00 / RM22.00

  • Pahang : RM7.00

  • Perlis : RM7.00

  • Sabah : RM7.50

  • Sarawak : RM7.50


  1. Negeri Yang Mempunyai Lebih Daripada Satu Kadar Zakat : Setiap pembayar zakat boleh memilih kadar zakat yang sepadan dengan harga beras yang menjadi makanan mereka

  2. Contoh : Umat Islam di Negeri Melaka yang menjadikan makanan hariannya iaitu beras daripada jenis super tempatan perlu membayar sebanyak RM7. Manakala kadar RM14 pula bagi mereka yang menjadikan makanan hariannya daripada beras import termasuklah dari beras wangi, beras basmathi dan seumpamanya

Umat Islam dinasihatkan supaya memastikan mereka membayar zakat fitrah kepada amil yang mempunyai kad kuasa dan resit bayaran yang dikeluarkan oleh Majlis Agama Islam Negeri.


Zakat Fitrah

Platform Pembayaran Zakat Online

Kini terdapat pelbagai aplikasi yang menyokong pembayaran zakat secara online.

Antaranya Shopee, Maybank2u dan bermacam lagi.

Selain itu, anda juga boleh membuat pembayaran zakat melalui portal zakat negeri masing-masing. Pautannya seperti di bawah:

9 views0 comments

Comments


bottom of page